Sunday, October 14, 2007

MELAYU TERUS LAYU?


Aksi jijik pelajar-pelajar lelaki Melayu mencabul pelajar perempuan Melayu secara beramai-ramai adalah bala yang semakin hari semakin banyak kita dengar dan lihat berlaku di negara kita mutakhir ini. Beginilah keadaan masyarakat kita sekarang terutama bangsa Melayu yang semakin hari semakin layu dan hanyut dan mungkin tenggelam di bawa arus kemaksiatan. Persoalannya, apa tanggung jawab kita sebagai khalifah di muka bumi Allah swt? Apakah kita telah menjalankan usaha amal makruf nahi mungkar? Sejauh mana kita serious dalam menegakkan serta mempertabatkan Islam dan berpegang kepada Al Quran & Sunnah. Keadaan sekarang seolah-olah sudah tidak dapat di bendung lagi selagi peraturan dan perlaksanaan undang-undang mengikut apa yang diperintah oleh Allah s.w.t melalui Al Quran dan Sunnah di ketepikan dan hanya mengambil sebahagian yang menepati selera kita sahaja. Kemaksiatan kepada Allah s.w.t yang berleluasa ini hanya akan mengundang bala seperti mana yang terkandung dalam Al-Quran. Maka marilah kita sama-sama muhasabah diri sejauh mana Islamnya kita.

Apa yang ada lagi pada orang Melayu? Kuasa Ekonomi? Kuasa Politik? Islam?

Tanyalah diri kita sendiri, sudahkah aku ini melakukan apa yang sepatutnya aku lakukan sebagai seorang mukmin? Menjadi seorang Islam adalah tersangat mudah tetapi menjaga Islam itu sebagaimana yang sepatunya adalah satu tanggung jawab yang sangat besar dan berat. Perlakuan-perlakuan seperti pencabulan tersebut telah mencemarkan Islam dan orang Melayu seperti itulah yang telah mencemarkan Islam. Bagaimana kita hendak menarik bangsa lain memeluk Islam sedangkan kita sendiri tidak berpelakuan seperti yang sepatutnya. Keruntuhan akhlak orang Islam masakini adalah kerana keterbatasan ilmu tentang Islam itu sendiri.

Apa yang paling menghampakan dan menyedihkan ialah ada di kalangan orang Islam itu sendiri yang menghalang perkembangan ilmu Islam yang ingin di kembangkan. Patutkah mereka yang menghalang ini masih di panggil orang Islam atau mungkinkah mereka ini kaum munafikun yang terkandung ciri-cirinya dalam Surah Al Baqarah?

Wahai muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat marilah kita sama-sama bangun berjihad menentang kebatilan dan taughut, selagi mana kita hanya duduk mendiamkan diri selagi itulah maksiat akan terus berleluasa, kita perlu dzahirkan kebencian kita kepada kebatilan, kemaksiatan dan taughut. Ayuh saya mengajak diri saya dan saudara-saudara agar bangun dari lamunan sekiranya kita sayang kepada agama Allah s.w.t.! Allah s.w.t tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sekiranya mereka tidak merubah diri mereka.

Kelemahan kita dan keengganan kita untuk berjihad akan hanya mengundang lebih banyak bala dari Allah s.w.t dan Allah s.w.t tidak akan mungkir akan janji Nya. Tidak mustahil kaum Melayu akan terhapus kerana tidak menjalankan amanah dan tanggung jawab yang telah diberikan oleh Allah s.w.t. kerana juga terkandung dalam Al Quran bahawa Allah s.w.t berhak menghancurkan sesuatu kaum dan menggantikannya dengan kaum yang lain. Ingatlah! Tudinglah jari pada diri kita sendiri, tak perlu menuding jari kepada orang lain. Rasa-rasanya telah tiba masanya tanpa berlengah-lengah lagi!

No comments: