Hari ini, sehari sebelum kita menyambut 1 Syawal iaitu tanggal 29 Ramadhan, 1430 Hijrah bersamaan 19 September, 2009 jam 3.27 pagi hampir beberapa minit sahaja sebelum ‘alarm’ telefon bimbit saya berbunyi yang di ‘set’kan jam 3.30pagi pagi semasa bulan Ramadhan ini tiba-tiba saya mendapat panggilan telefon yang tertera nama sahabat karib saya yang kami atau keluarganya memanggil dengan nama Akai. Nama sebenar beliau ialah Mohd. Khairi bin Yassin. Dalam keadaan terkejut itu apa yang terlintas di dalam kepada saya ialah satu perkhabaran kematian yang bakal saya terima kerana panggilan waktu-waktu begini selalunya memang bersangkutan dengan hal-hal sedemikian. “Eh..emak dia meninggal ke ni?” itulah perkara pertama yang terlintas sebelum saya menjawab panggilan tersebut. Apabila saya menjawab panggilan tersebut saya terus terpaku dan tersentak kerana panggian itu datangnya dari abang beliau yang juga sahabat karib saya kerana saya dan keluarga mereka sangat rapat dari kecil lagi. Abang beliau, Ahmad Anis dengan nada yang pilu memberitahu, “Akai dah tak ada lagi....” Secara sepontan air mata saya mengalir kesedihan dan lidah saya terus kelu untuk berkata dan bertanya selanjutnya. Anis seterusnya memberitahu bahawa jenazah allahyarham kini berada di kampong. Telah di takdirkan saya juga berada di kampong pada masa ini kerana akan menyambut 1 Syawal bersama kedua ibu bapa saya.
Baru dua minggu dulu kami sempat berbual melalui telefon dan kami agak lama juga tidak bertemu kerana masing-masing sibuk dengan urusan perniagaan. Beliau orang yang pertama memberitahu saya tentang kematian ADUN Bangan Pinang dan bagaimana semangatnya beliau untuk berjuang. Masih ingat lagi kata beliau “Ini kena balik ni, kampong kita ni” dan “Bak nanti aku bawah Ir Nizar berceramah!” demikianlah kata beliau yang ingin melihat DUN Bangan Pinang di rampas dari UMNO dan Barisan Nasional. Bagi saya dia adalah satu manusia yang sukar di cari kerana sikap ramahnya dan Allah swt menganugerahkannya dengan keistimewaan boleh berhubung dan berkomunikasi dengan setiap lapisan masyarakat..satu aset yang membuatkan beliau berjaya dalam perniagaan beliau.
Mendapat perkhabaran akan kematian rakan rapat kita membuatkan kita terus ingat akan giliran kita pula yang mana Allah swt akan mencabut nyawa seseorang itu tanpa lewat sedetik pun. Ingat bahawa setiap seorang dari kita seolah-olah sedang beratur menunggu giliran masing-masing, tiada cepat atau pun lewat yang pasti dan wajibnya setiap orang akan tiba giliran mereka. Dalam saat menunggu giliran ini, apakah kita sudah bersedia? Barisan atau waktu untuk giliran kita setiap detik dan ketika semakin lama semakin pendek. Semalam telah kita tinggalkan dan adakah apa yang kita lalui semalam dapat menjadi bekalan kita dalam menempuh kematian ini? Adakah ianya dapat menjawab persoalan-persoalan kubur yang di ajukan oleh para malaikat? Harta kekayaan yang kita tungkus lumus mengejarnya dan usahakan sebelum ini dapat jadi bekalan? Solat kita, puasa kita, Haji kita, Zakat kita, kebajikan kita adakah sudah memadai? Adakah anak-anak kita telah kita didik sebagai anak yang soleh? Adakah isteri kita telah kita didik untuk menjadi muslimat solehan? Adakah jihad kita terhadap mempertabatkan agama Allah swt sudah kita laksanakan? Ada beribu persoalan lagi yang hanya kita yang dapat menjawabnya...
Akai, saya hanya mampu mendoakan agar Allah swt mengampunkan segala dosa mu serta menempatkan roh mu di dalam golongan roh-roh para orang beriman serta diberikan nikmat syurga oleh Allah swt. Ameen
.........giliran ku pasti akan tiba jua..